Tuesday 31 March 2009

Pengalaman Muiz I


Hari ini kami sekali lagi dilawati oleh pekerja kesihatan (health worker) yang mesra bernama Cathy. Ini adalah susulan lawatan pelawat kesihatan (health visitor) pada minggu lepas. Kedua-dua lawatan ini adalah berkait dengan perkembangan anak bongsu kami, Muiz, yang berumur 3 tahun. Memang menjadi kebiasaan disini untuk dilawati oleh salah seorang dari mereka untuk memantau perkembangan anak-anak dibawah 4 tahun. Dan bukan itu yang menjadi bicara saya disini sebab di Malaysia lawatan sebegini juga ada (walaupun saya tidak pernah dilawati dengan anak seramai lima orang!)

Apa yang ingin dikongsi ialah kemantapan support system untuk anak-anak seawal dari kelahiran lagi. Saya juga tidak mahu berbicara secara umum tetapi lebih menjurus kepada pengalaman kami yang sedikit di bandar Cardiff ini dan lebih berkait dengan pengalaman kami bersama Muiz sejak setahun yang lalu.  

Tidak lama selepas kami mendaftar dan membuat pemeriksaan di GP, kami dilawati oleh seorang health visitor (HV). Pada masa itu, usia Muiz hampir dua tahun. Bicara mengenai perkembangannya, tiada apa yang merisaukan kami. Dia adalah anak kami yang paling aktif sejak di dalam kandungan lagi. Sejak saya mengandung tujuh bulan, terasa seperti  nak melahirkan sehingga terpaksa mengambil ubat. Dia memang bayi yang punya tulang 'kuat' dan dalam usia seminggu sudah mahu mengangkat kepala! Secara ringkasnya, gerak tubuh tidak merisaukan kami cuma dia agak lewat bercakap. Ini bandingan kami dengan anak-anak yang terdahulu.

Kami suarakan kepada HV dan dirujuk kepada speech therapist (ST). Dua bulan selepas itu, kami diminta untuk membawa Muiz berjumpa speech therapist. Ujian utama untuk masalah sebegini ialah ujian pendengaran dan alhamdulillah tiada masalah dari segi pendengarannya. Cuma apa yang ditekankan oleh ST ialah gunalah bahasa ibunda bila bercakap dengan anak-anak. Itulah bahasa lidahnya! Kami terpana sebab ingatkan penggunaan bahasa Inggeris digalakkan memandangkan Muiz akan juga kesekolah disini. Kami risau dia akan menghadapi masalah komunikasi!

Menurut pengamatan ST melalui perbualan dengan kami, Muiz lebih kepada masalah kecelaruan bahasa. Kami menggunakan dwi bahasa yang membuatkan dia bingung dan sekitarannya pula bahasa Inggeris.  Perkara ini memang perkara biasa untuk anak-anak sebab mode utama anak-anak belajar bercakap ialah melalui 'peniruan' atau 'imitation'. Maka ibubapa atau sesiapa yang bercakap dengan anak-anak perlu menggunakan bahasa yang sama supaya anak-anak tidak celaru!

Kemudian lagi, ibubapa memang perlu banyak bercakap dengan anak-anak. Jangan senang hati bila anak-anak duduk didepan TV atau bermain sendirian. Mereka belajar melalui komunikasi. Lebih banyak kita berkomunikasi, lebih banyak bergerak mindanya! Muiz mungkin tidak begitu bernasib baik dalam hal ini. Walaupun dia tidak dihantar ke nurseri atau babysitter seperti abang2 dan kakak2nya, dia tidak banyak berkomunikasi dengan kami! Saya sibuk dengan urusan belajar dan sering duduk di u sehingga lewat. Ayahnya pula kekadang agak senang hatibila  Muiz setia didepan TV dan membuat aktiviti lasak. Lantas komunikasi kami terbatas ... dia tiada aktiviti 'peniruan' dari kami.

Kerisauan kami bukanlah suatu yang luarbiasa tetapi sokongan yang kami dapat dari sistem di sini sangat baik. Pada awalnya, adakalanya kerisauan kami memuncak ... yelah dah hampir 3 tahun tapi belum 'bertih' tuturnya, tetapi setiap kali kami mengadu mengenai perkembangan Muiz, kami sering diingatkan yang dia tiada apa-apa masalah dan jangan sesekali bandingkan anak-anak! 

Apa yang ingin dikongsikan disini ialah mengenai komunikasi serta perbandingan anak-anak. Kita sebagai ibubapa kekadang terleka dari berkomunikasi dengan anak-anak kecil. Mereka juga perlukan kita! serta cuba jauhkan membandingkan perkembangan anak-anak kita. Setiap dari mereka mempunyai kelebihan dan kepantasan masing-masing. 

Muizku memang pintar!





Monday 30 March 2009

Politik tanahairku

Satu persoalan yang sering terbuai didalam mindaku yang jahil politik ini adalah "Ke mana arah tuju politiking Malaysia?"

Saya tidak bermaksud menyebelahi mana-mana gagasan politik, baik kanan atau kiri, kerana mungkin sebenarnya tiada pun gagasan politik yang mempunyai seratus-peratus kejujuran dalam berpolitik. Saya andaikan masing-masing mempunyai kepentingan untuk mengepalai Malaysia. Saya sering bertanya kepada diri sendiri 'Sejak PRU12 tahun lalu (Mac 2008), berapa banyak janji manis sudah mana-mana MP atau Adun yang terlaksana?'

Tidakkah mereka asyik berbicara tentang lompat 'katak' yang tidak pun nampak kelibatnya?

Tidakkah mereka asyik berbicara untuk membeli 'kerusi kulit' semata tanpa mempersoalkan atau menghormati kepercayaan yang telah rakyat berikan kepada seseorang 'wakil rakyat'? Angkara pembelian 'kerusi kulit' ini saya andaikan satu pencabulan hak rakyat sejagat!

Belum selesai isu pembelian kerusi yang seterusnya melibatkan 'rampasan kuasa' kerajaan yang dibina dengan titik peluh rakyat (ingat!!! keringat siapa yang berlimpahan semasa kempen dan hari mengundi?), mereka terus disibukkan dengan pilihanraya parti pula... Justeru, saya buat congakan kasar, dalam setahun memerintah negara (selepas PRU12), mungkin tidak sampai 3 bulan daripada tenaga dan buah minda dikhususkan untuk kepentingan rakyat! Sembilan bulan yang lain banyak di 'curi' oleh kepentingan politik sendiri!

Umpamanya bukan senang mahu bertanding kerusi Ketau Pemuda, kalau memang umum mengetahui palitan busuk dimuka. Juga bukanlah suatu jalan mudah kalau sudah punya rekod politik wang untuk menangkap posisi ahli MT. Ada yang mungkin setiap hari sebu memikirkan pemilihan parti dan lebih sebu dari memikirkan rakyat yang dibuang kerja saban hari akibat kegawatan global ekonomi.

Memang nyata ada kesengalan didalam sesetengah parti politik di Malaysia. SiPolan yang sepatutnya tidak di namakan langsung pun boleh menang jawatan penting parti! Malahan yang anehnya dipuja!!! Aneh memang aneh ... pelik tetapi itulah apa yang terjadi. Itu belum lagi berbicara tentang si polan lain yang sudah terang dan nyata kebobrokannya baik secara publik atau personal... juga diangkat menjadi ketua negara. Oh tidak! Apa sudah jadi dengan tanahairku ...