Saturday 5 July 2008

Politik Malaysia Yang Memenatkan

Saya bukanlah seorang yang berdisiplin dalam mengikuti perkembangan politik tanahair, jauh lagi menjadi penganalisa politik. Namun minat yang sedikit ini kadangkala bila berkesempatan menyorong untuk meneropong gelagat politik tanahair dari beberapa jendela. Teruja dan terkedu. Terasa penatnya politik di Malaysia. Bagi orang yang tidak berpolitik...ia sangat memenatkan. Penuh dengan prasangka dan mungkin fitnah semata. Setiap hari dada akhbar utama atau alternatif disarati dengan panahan tuduhan parti pemerintah atau pembangkang. Entah siapa yang salah entah siapa yang benar! Bagi rakyat marhain yang dari pelbagai lapisan, apalah untung mereka dari menyorak cerita-cerita ini. Takkan masih mahu disogokkan dengan cerita tilam setiap dekad seolah-olah itulah kekuatan politik Malaysia. Jika begini, harapan mereka untuk melihat perubahan entah kesampaian entahkan tidak.

Dari pengamatan saya yang naif dalam pemerintahan negara, berfikiran banyak lagi masalah negara yang kronik perlu dtangani...yang sudah cukup membebankan rakyat. Kesan kenaikan harga minyak masih panas dirasai oleh sebahagian besar rakyat...harga minyak naik, segalanya naik...harga beras naik, harga sayur naik dan segalanya...rakyat tidak punya apa-apa kecuali tangan untuk memangkah kotak. Belum lagi bicara pengangguran yang meruncing, kebejatan akhlaq anak-anak muda, sistem pendidikan terlampau menjurus dan mungkin kurang stabil?
Tidak boleh mereka ini bicara dan kritis dalam menangani isu rakyat. Berdebatlah mengenai polisi siapa yang akan memberi kebaikan kepada negara dan justeru rakyat. Jadikanlah rakyat sebagai pandu ukur politik dan pemerintahan. Jangan hanya pandai membida orang lain atau ... publisiti politik murahan, gossip, fitnah dan omong kosong dan kontang. Sebagai rakyat, saya rasa penat, lelah dan bosan dengan debat sodomi.

Esok lusa mengharapkan tumpuan orang penting negara beralih untuk lebih bertanggungjawab keatas rakyat dan bukan untuk kepentingan diri sendiri. Kalau sudah tidak mampu menggalas amanah rakyat, maka lebih manis mengundurkan diri. Pasrahkan pada mereka yang punya responsibiliti dan kredibiliti. Ingatlah rakyat kedahagaan ..... mahu pemerintah yang prihatin akan nasib mereka bukan sekadar berkokok tatkala berkempen. Ingatlah...tangan rakyat sudah celik dan kenal erti cinta pemerintah!




No comments: