Hari ini kami sekali lagi dilawati oleh pekerja kesihatan (health worker) yang mesra bernama Cathy. Ini adalah susulan lawatan pelawat kesihatan (health visitor) pada minggu lepas. Kedua-dua lawatan ini adalah berkait dengan perkembangan anak bongsu kami, Muiz, yang berumur 3 tahun. Memang menjadi kebiasaan disini untuk dilawati oleh salah seorang dari mereka untuk memantau perkembangan anak-anak dibawah 4 tahun. Dan bukan itu yang menjadi bicara saya disini sebab di Malaysia lawatan sebegini juga ada (walaupun saya tidak pernah dilawati dengan anak seramai lima orang!)
Apa yang ingin dikongsi ialah kemantapan support system untuk anak-anak seawal dari kelahiran lagi. Saya juga tidak mahu berbicara secara umum tetapi lebih menjurus kepada pengalaman kami yang sedikit di bandar Cardiff ini dan lebih berkait dengan pengalaman kami bersama Muiz sejak setahun yang lalu.
Tidak lama selepas kami mendaftar dan membuat pemeriksaan di GP, kami dilawati oleh seorang health visitor (HV). Pada masa itu, usia Muiz hampir dua tahun. Bicara mengenai perkembangannya, tiada apa yang merisaukan kami. Dia adalah anak kami yang paling aktif sejak di dalam kandungan lagi. Sejak saya mengandung tujuh bulan, terasa seperti nak melahirkan sehingga terpaksa mengambil ubat. Dia memang bayi yang punya tulang 'kuat' dan dalam usia seminggu sudah mahu mengangkat kepala! Secara ringkasnya, gerak tubuh tidak merisaukan kami cuma dia agak lewat bercakap. Ini bandingan kami dengan anak-anak yang terdahulu.
Kami suarakan kepada HV dan dirujuk kepada speech therapist (ST). Dua bulan selepas itu, kami diminta untuk membawa Muiz berjumpa speech therapist. Ujian utama untuk masalah sebegini ialah ujian pendengaran dan alhamdulillah tiada masalah dari segi pendengarannya. Cuma apa yang ditekankan oleh ST ialah gunalah bahasa ibunda bila bercakap dengan anak-anak. Itulah bahasa lidahnya! Kami terpana sebab ingatkan penggunaan bahasa Inggeris digalakkan memandangkan Muiz akan juga kesekolah disini. Kami risau dia akan menghadapi masalah komunikasi!
Menurut pengamatan ST melalui perbualan dengan kami, Muiz lebih kepada masalah kecelaruan bahasa. Kami menggunakan dwi bahasa yang membuatkan dia bingung dan sekitarannya pula bahasa Inggeris. Perkara ini memang perkara biasa untuk anak-anak sebab mode utama anak-anak belajar bercakap ialah melalui 'peniruan' atau 'imitation'. Maka ibubapa atau sesiapa yang bercakap dengan anak-anak perlu menggunakan bahasa yang sama supaya anak-anak tidak celaru!
Kemudian lagi, ibubapa memang perlu banyak bercakap dengan anak-anak. Jangan senang hati bila anak-anak duduk didepan TV atau bermain sendirian. Mereka belajar melalui komunikasi. Lebih banyak kita berkomunikasi, lebih banyak bergerak mindanya! Muiz mungkin tidak begitu bernasib baik dalam hal ini. Walaupun dia tidak dihantar ke nurseri atau babysitter seperti abang2 dan kakak2nya, dia tidak banyak berkomunikasi dengan kami! Saya sibuk dengan urusan belajar dan sering duduk di u sehingga lewat. Ayahnya pula kekadang agak senang hatibila Muiz setia didepan TV dan membuat aktiviti lasak. Lantas komunikasi kami terbatas ... dia tiada aktiviti 'peniruan' dari kami.
Kerisauan kami bukanlah suatu yang luarbiasa tetapi sokongan yang kami dapat dari sistem di sini sangat baik. Pada awalnya, adakalanya kerisauan kami memuncak ... yelah dah hampir 3 tahun tapi belum 'bertih' tuturnya, tetapi setiap kali kami mengadu mengenai perkembangan Muiz, kami sering diingatkan yang dia tiada apa-apa masalah dan jangan sesekali bandingkan anak-anak!
Apa yang ingin dikongsikan disini ialah mengenai komunikasi serta perbandingan anak-anak. Kita sebagai ibubapa kekadang terleka dari berkomunikasi dengan anak-anak kecil. Mereka juga perlukan kita! serta cuba jauhkan membandingkan perkembangan anak-anak kita. Setiap dari mereka mempunyai kelebihan dan kepantasan masing-masing.
Muizku memang pintar!
No comments:
Post a Comment