Tahun ini sekali lagi saya dan keluarga (selepas 15 tahun tidak berpeluang!) termangu didepan kaca TV menonton kejohanan ulung tenis di UK, atau lebih dikenali dengan Wimbledon. Wimbledon adalah satu tempat yang terletak di baratdaya London (SW19) dan menjadi tumpuan peminat tenis dunia setiap kali hujung bulan Jun/awal Julai. Antara keunikan kejohanan ini ialah gelanggang rumputnya (grass court) dan kekadang lagi disebabkan gelanggangnya terbuka, selalunya terdapat gangguan sekiranya turun hujan sekalikan gerimis (drizzle). Itulah...Britain dengan kecanggihan yang pelbagai, masalah stadium untuk kejuaraan yang hebat begini belum ditangani. Walhal, saban tahun masalah ini dihadapi... hujan... tangguh... hujan... tangguh... Sepatutnya, stadium ini dibekalkan dengan 'retractable cover' yang boleh dibuka atau tutup mengikut keperluan. Setelah berpuluh-puluh tahun kejohanan ini dibuat, khabarnya baru tahun depan ianya bakal dipasang di centre court.
Yang menariknya tahun ini boleh dibicara dari 2 perspektif; keluarga dan finalis perseorangannya. Dari perspektif keluarga, kali ini saya ditemani oleh anak perempuan yang 15 tahun dulu dia baru mula melunjur...Sekarang dia sudah menyokong pemain lawan kepada pemain yang saya sokong. Dulu saya bertaruh dengan suami, kini saya bertaruh dengan anak sendiri, sang suami tenggelam dalam sorakan kami berdua. Lihat betapa usia kami telah meningkat....
Pertemuan dua beradik, Serena dan Venus Williams sangat menarik untuk dikongsi. Pada hari yang sama (5 Julai) dan di gelanggang yang sama mereka telah berkongsi kejuaraan bagi beregu wanita. Petangnya mereka berentap bagi meraih kejohanan wanita Wimbledon. Masing-masing mahu mempertahankan kejuaraan tersebut namun secara professional. Akhirnya Serena kecundang kepada Venus...berkongsi keupayaan dan tega melepaskan sesuatu yang sangat diingini kerana keterbatasan kemampuan. Kemampuan kita terbatas dan ianya unik untuk seseorang individu, kita berusaha dan berusaha...pasrahlah kepada yang kuasa.
Perseorangan lelaki pula lebih hebat. No 1 dan no. 2 dunia berentap selama lebih 5 jam dengan 2 selingan (terhenti) kerana hujan. Hampir kecewa dengan penangguhan tersebut...Nadal dan Federer lagi kecewa agaknya. Pertandingan yang sengit dan menurut pemerhati tenis, ia merupakan permainan yang terbaik dan paling sengit untuk tempoh 26 tahun. Nadal mahu menggondol kejuaraan bagi negaranya, Sepanyol, yang pernah dimenangi terakhir pada tahun 1966 dan sekaligus yang ulung bagi dirinya, biarpun ini bermakna menundukkan idolanya! Federer mahu mengekalkan kejuaraannya bagi kali ke-6 setelah menyandangnya selama 5 tahun berturut-turut. Apa yang boleh dipelajari.....kita tidak akan selamanya diatas...ingatlah putaran hidup akan mematangkan kehidupan kita didunia dan mengajar kita bahawa ada orang yang lebih baik dari kita. Sentiasalah memperbaiki diri...biar esok lebih baik dari hari ini.
Sekian dulu Wimbledon 2008, apakah ada Wimbledon 2009?
No comments:
Post a Comment