Sepertimana ibubapa lain disini, kami mendaftarkan Muiz untuk memulakan alam persekolahan sebaik sahaja dia melangkah usia 3 tahun. Alhamdulillah juga, ada kekosongan di sekolah yang berhampiran dan sekaligus sekolah abangnya, Hafiz. Cuma yang masih merisaukan kami ketika itu ialah Muiz masih memakai lampin pakai buang! Pengalaman rakan disini mengenai kengganan sekolah menerima anak-anak yang memakai lampin agak merisaukan ... maknanya kami perlu melatih Muiz tanpa lampin atau istilah disini 'potty training'. Kami cuba berbincang dengan health visitor ... alhamdulillah ada sistem sokongan disini.
Mungkin sesuatu yang pelik bagi orang lain, betapa kami yang punya anak lima masih teragak-agak dalam urusan 'kecil' ini. Di Malaysia, urusan sebegini banyak dibantu oleh baby sitter atau bonda dan kekanda, disini kami mengadu pada yang boleh diadukan ... betapa mereka tidak memilih 'siapa' yang perlu dibantu. Apa yang menjadi faktor kerisauan kami ialah cuaca yang sejuk, rumah yang dilambaki dengan karpet dan situasi Muiz yang belum petah berbicara! Akan tetapi sistem sokongan disini membuat kami lebih konfiden. Anak-anak lebih mudah menerima arahan sekiranya arahanitu tidak mengelirukan anak-anak. Umpamanya kalau kita sudah sepakat tidak mahu dia memakai lampin, jangan sesekali dipakaikan lampin kecuali diwaktu malam tanpa disedarinya ... kami dilawati 3 kali oleh health worker untuk tujuan potty training ini. Cathy memang dedikasi dan komited terhadap tugasnya!
Muiz juga dibawa ke kelas 'Language and Play' untuk anak-anak dibawah empat tahun. Saya sentiasa teruja dengan approach sistem pendidikan anak-anak disini sejak dari kelahiran sehingga 11 tahun. Mereka menggunakan approach 'learning through playing' dan seringkali ditekankan kebebasan dan kreativiti anak-anak melalui seni. Anak-anak pastinya gembira bila melakukan aktiviti sebegini dan apa yang penting setiap aktiviti akan di sertai dengan rasionalnya ... semudah kenapa apabila ingin menyuapi anak, si ibu turut menyicip makanan si anak didepannya? sebab si anak akan 'meniru' apa jua aktiviti si ibu ...bukankah ibu ayah cermin si anak. Kita secara umum menerima idiom seumpama itu ..tetapi selalu lupa bagaimana implementasinya. Kita selalu mengaitkan dengan isu-isu besar seperti kalau ibu ayah tidak solat bagaimana anak patuh untuk solat .... benar! Tetapi banyak lagi cabang perkembangan anak-anak yang menggunakan prinsip itu dilupa atau dilekeh oleh kita, para ibubapa. Umpamanya ibubapa sering mendengus kenapa si anak tidak makan buah atau sayur ... cuba fikirkan bagaimana mahu si anak makan buah atau sayur? Sesekali bawalah si anak ke pasaraya memilih sendiri buah atau sayur kegemarannya ... biar dia yang memotong dan memasak! Pasti dia akan makan sayur itu! Jadi, janganlah kita kecewa bila anak-anak tidak menyicip pun sayur lemak pedas kegemaran kita, kerana mereka juga punya citarasa yang tidak salah!
Belajar melalui bermain? Salahkah anak-anak bermain? Bukankah itu dunia mereka? Cuba kita perhatikan setiap langkah anak-anak bermain ... pasti mereka belajar sesuatu dari permainan itu. Ibu bapa sewajarnya menilai aktiviti permainan anak-anak dari sudut perkembangan anak-anak, baik fizikal ataupun mental. Memang saya tidak menyanggah penatnya melayan anak-anak bermain, lagipula kalau yang punya anak aktif seperti Muiz. Tetapi selagi minda mereka berfungsi selagi itu, anak-anak akan menggerakkan fizikal mereka dan itulah yang dikatakan 'bermain'. Cara anak-anak 'melayan' gerak fizikal mereka itu sebenarnya melahirkan kepantasan minda mereka. Kalau anda duduk sebentar memerhati si anak bermain, saya pasti anda akan teruja dengan koordinasi fizikal dan mental mereka. Mereka akan menjadi kreatif dan akhirnya produktif! Jangan kongkong aktiviti yang menjadi fitrah mereka.
Pengalaman bersama Muiz di sini sering menggugah kami dalam mendidik anak-anak. Peluang membesarkan Muiz di sini melalui aktiviti komuniti membuat kami teruja dengan pendidikan anak-anak. Buat anak-anakku yang telah melewati usia ini, bonda mohon maaf kalau ada kecelaruan dalam mendidik kalian. Moga kalian tidak mengulanginya dalam mendidik generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment